NOVAK DJOKOVIC menambah sinar emas dalam kariernya yang cukup gemilang selepas memenangi meraih pingat emas aksi final tennis lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ahad di Roland Garros.

Bertarung hebat hampir tiga jam sebelum menewaskan musuh tradisinya, Carlos Alcaraz dari Sepanyol 7-6,7-6, Djokovic bukan hanya memenangi emas buat Serbia tetapi juga melengkapkan Golden Slam dalam kariernya.

Golden Slam adalah gelaran yang diterima mana-mana pemain tennis yang berjaya memenangi empat Grand Slam utama ‐ Terbuka Australia, Terbuka Amerika Syarikat, Terbuka Perancis dan Terbuka British serta mendapat pingat emas di Sukan Olimpik.

Pemain berusia 37 tahun itu menewaskan Alcaraz dalam aksi terakhirnya di Olimpik hanya selepas lapan setengah minggu selesai menjalani pembedahan meniskus di kaki kanannya dan dia menganggap ini adalah antara permainan paling berkualiti pernah dipamerkan bersama Alcaraz.

“Kami bermain hampir tiga jam untuk dua set dan ianya satu pertarungan yang menakjubkan. Saya hanya yakin dapat tewaskannya apabila mata terakhir diperolehi kerana dia sering bangkit dan mendorong saya bermain tennis terbaik.

“Saya masih kehilangan kata-kata kerana masih terkejut. Saya berikan segalanya untuk memenangi pingat emas Olimpik pada usia 37 tahun dan akhirnya saya berjaya lakukannya.

“Segala-galanya tentang Golden Slam ini sangat istimewa tetapi ianya adalah buat Serbia. Saya bangga bermain untuk negara. Saya lihat Nadal dan Alcaraz bangga bermain untuk Sepanyol begitu juga Murray untuk Britain serta Roger Federer buat Switzerland. Untuk memenangi emas buat negara anda adalah sesuatu yang sangat istimewa,” katanya.

Kejayaan ini menyaksikan Djokovic menjadi pemain tennis kelima menyertai senarai eksklusif pemenang Golden Slam dengan hanya Steffi Graf, Andre Agassi, Rafael Nadal dan Serena Williams sahaja yang pernah melakukan kejayaan yang sama sebelum ini.