SEDAR akan kemampuan pihak tuan rumah, pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Nafuzi Zain sudah menjangka bahawa laluan untuk ke final Piala FA 2024 begitu sukar terutama bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut Nafuzi, beliau tetap berbangga terhadap pencapaian yang diperoleh setakat ini dalam separuh akhir Piala FA, kerana para pemain juga sudah membuktikan usaha yang keras di atas padang.
Namun, kelebihan masih memihak kepada skuad Harimau Selatan dimana faktor kekalahan Sang Kenari, apabila JDT menggunakan kekuatan mereka iaitu dari segi barisan pemain yang lebih berkualiti.

Barisan kesebelasan utama skuad KDA FC pada malam Ahad.
Maka, keputusan 3-0 dan agregat 5-1 yang berakhir di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi separuh akhir kedua Piala FA telah menyaksikan JDT terus menempah tiket ke aksi final, bertemu Selangor FC nanti.
“Tahniah kepada pemain-pemain saya sendiri yang saya rasa sudah bermain dengan baik. Dimana kita tahu apabila berjumpa JDT di laluan ke final adalah satu perkara yang tidak mudah dan kita akan tersekat di situ.
“Saya rasa dapat bermain hingga ke separuh akhir adalah lebih daripada layak. Kita pun tahu kita di sini bertemu dengan JDT, dimana laluan untuk ke final itu tidak mustahil tetapi amat sukar. Yang penting kita sudah lakukan yang terbaik daripada semua sudut dan rezeki sudah berkata sehingga tahap separuh akhir sahaja.

Nafuzi ketika aksi separuh akhir sedang berjalan.
“Ya, tiada yang perlu dikecewakan kerana bagi saya, daripada segi persembahan pemain di atas padang semua sudah baik dan mereka berikan segalanya.
“Kita juga memberi saingan di sini walaupun kita tahu tahap kekuatan JDT. Jadi secara keseluruhan, kita tewas kepada JDT atas faktor kelebihan pemain mereka yang lebih berkualiti,” ujar Nafuzi ketika ditemui selepas perlawanan.
Anak buah Nafuzi menerima rintangan hebat untuk melepasi pertahanan JDT dan akhirnya gagal melakukan sebarang jaringan di Stadium Sultan Ibrahim pada malam Ahad.