Kapten Kuching City FC, James Okwuosa percaya pasukannya mempunyai kemampuan untuk mencipta kejutan apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia, malam esok.
Tonggak pertahanan berpengalaman itu menyifatkan kejayaan membawa Kuching City ke final sebagai satu pencapaian besar dalam kariernya sejak tiba di Malaysia beberapa tahun lalu.
Menurut Okwuosa, beliau tertarik menyertai Kuching City selepas melihat visi dan perancangan pasukan yang mahu berkembang menjadi antara pencabar utama bola sepak tempatan.
“Saya rasa ini satu pencapaian besar buat saya secara peribadi. Pemain muda di Kuching sangat mahu belajar dan sentiasa meminta nasihat,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Bekas pemain PDRM FC itu percaya semangat kekeluargaan dalam pasukan menjadi faktor utama kebangkitan The Cats musim ini.
Mengulas cabaran menentang jentera serangan JDT yang dibarisi pemain berkualiti seperti Bergson da Silva dan Fernando Forestieri, Okwuosa menegaskan Kuching City tidak hanya memberi fokus kepada individu tertentu.
Sebaliknya, beliau mahu seluruh pasukan tampil lebih tersusun dan berdisiplin untuk mengekang ancaman juara bertahan itu.
“Jika terlalu fokus kepada individu, anda mungkin akan kalah kerana bola sepak adalah permainan berpasukan,” katanya.
Dalam masa sama, Okwuosa mengakui final Piala Malaysia memberi peluang besar buat pemain mencipta sejarah baharu bersama Kuching City.
Katanya, aksi final bukan sekadar mengenai reputasi lawan, tetapi bagaimana pasukan mampu memberikan persembahan terbaik sepanjang 90 minit permainan.
“Selagi ada 90 minit, sesiapa pun boleh dikalahkan. Paling penting adalah untuk menang dan mencipta sejarah,” katanya.
Kuching City bakal turun membuat penampilan pertama dalam sejarah kelab di final Piala Malaysia dengan harapan menghadiahkan trofi berprestij itu buat penyokong dari negeri Sarawak.