KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan terlalu memikirkan persaingan kedudukan Liga Super sebaliknya mahu barisan pemain kekal fokus untuk tidak tercicir mata.
Menariknya, Kuching City dan Kuala Lumpur City kini dalam persaingan hebat apabila kedua-dua kelab berkongsi 28 mata selepas 13 perlawanan liga dengan skuad kendalian Aidil cemerlang di tangga kedua yang mempunyai kelebihan jaringan 7 gol.
Oleh itu, pengendali dari Singapura ini menyifatkan setiap perlawanan amat penting bagi memastikan mereka tidak tewas atau bolos terlalu banyak jaringan apatah lagi pasukan bakal berdepan aksi-aksi lebih sukar selepas ini termasuklah pertembungan dengan JDT, 13 Januari depan.
“Saya selalu cakap dekat pemain yang kita hanya perlu fokus kepada pasukan sendiri sahaja sebab kita tak boleh nak kawal keputusan kelab lain, contohnya macam KL City.
“Mereka menang tempoh hari lawan Imigresen FC sekaligus berkongsi mata dengan kami, jadi benda itu kita tak boleh nak kawal dan sebab itu lebih baik kita fikir macam mana nak terus dapatkan mata.
“Kita pun akan lawan pasukan-pasukan lebih kuat selepas ini (JDT, Negeri Sembilan, Selangor) dan kita kena teruskan aksi kita macam biasa, tidak buat kesilapan mudah dan sebagainya”, katanya.
Setakat ini, kesemua pemain Kuching City bebas daripada kecederaan serius selain Aidil berharap kecergasan mereka terus berada di tahap terbaik apatah lagi dengan aksi Piala Malaysia yang turut akan bermula pada 17 Januari ini.
“Setakat ini, semua pemain saya dalam keadaan yang baik, dan Yuki (Tanigawa) juga sudah boleh bermain selepas digantung perlawanan.
“Jadi yang penting adalah mereka perlu tahu jaga diri agar tak cedera, sebab kita tiada perlawanan lain sebelum lawan JDT, dan momentum nak kena jaga juga”, tambahnya.
Dua perlawanan akan berlangsung pada Jumaat ini menyaksikan KL City yang kini di tangga ketiga akan berkunjung ke Stadium Likas menentang Sabah FC, manakala Negeri Sembilan FC akan lawan JDT.