KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya menikmati aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sambil membuktikan mereka layak berada di pentas terbesar bola sepak tempatan itu.

Menurut Aidil, Kuching City sedar cabaran besar menanti apabila turun menentang juara bertahan yang juga antara kelab terbaik Asia Tenggara ketika ini.

Namun pengendali dari Singapura itu percaya motivasi tinggi pemain mampu menjadi senjata utama pasukan menjelang aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami bukan kelab besar dan masih baru dalam arena ini. Jadi motivasi sentiasa menjadi faktor penting buat kami,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Aidil turut mengakui peluang beraksi di final bukan sesuatu yang datang setiap musim dan sebab itu beliau mahu pemain memberikan segala-galanya di atas padang.

Beliau turut menyifatkan pencapaian Kuching City mara ke final dalam tempoh dua tahun sebagai sesuatu yang cukup membanggakan selepas sebelum ini meletakkan sasaran membawa pasukan ke tahap lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun.

“Kredit harus diberikan kepada pemain kerana mereka bekerja sangat keras. Kami perlu bersyukur tetapi tidak boleh berhenti di sini,” katanya.

Aidil menjelaskan kekuatan utama Kuching City musim ini adalah perpaduan dalam pasukan selain sikap profesional dipamerkan pemain di dalam dan luar padang.

Menurutnya, walaupun tidak dibarisi nama besar, skuad The Cats berjaya membentuk karakter kuat hasil kerja keras dan semangat sebagai sebuah keluarga.

Dalam masa sama, beliau berharap pemain tidak terlalu gementar terutama pada 15 hingga 20 minit pertama permainan yang dianggap tempoh paling penting dalam final.

“Kami mahu tunjukkan kenapa kami layak berada di final dan kenapa kami layak ke Asia. Saya cuma mahu pemain berikan yang terbaik dan nikmati perlawanan ini,” katanya.

Aidil turut menegaskan Kuching City tidak hadir ke Bukit Jalil sekadar melengkapkan jadual sebaliknya mahu memberikan tentangan habis-habisan demi penyokong dari negeri Sarawak.