KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Muñoz mahu anak buahnya menutup musim 2025-2026 dengan penuh bergaya apabila turun menentang Kuching City FC pada final Piala Malaysia malam esok.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, JDT perlu memberikan fokus sepenuhnya walaupun hadir selaku pasukan pilihan berdasarkan dominasi mereka dalam bola sepak tempatan sejak beberapa musim lalu.
“Kami sentiasa cuba memperbaiki rekod dan memberikan yang terbaik untuk kelab. Sekarang fokus utama adalah perlawanan esok kerana kami akan menentang pasukan yang sangat kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Xisco menyifatkan final kali ini sebagai pertemuan dua pasukan terbaik Malaysia berdasarkan prestasi semasa kedua-dua kelab.
Beliau turut mengakui Kuching City bakal memberi cabaran sukar terutama selepas hanya melepaskan 14 gol sepanjang saingan liga musim ini.
“Kami sudah beberapa kali bertemu mereka dan semua perlawanan sangat sengit. Mereka sangat kuat secara fizikal dan kami perlu bermain di tahap maksimum,” katanya.
Xisco turut menjelaskan kekuatan skuad dimiliki JDT menyebabkan beliau berdepan kesukaran memilih kesebelasan utama terbaik untuk aksi final tersebut.
Katanya, keputusan pemilihan bukan hanya berdasarkan nama besar tetapi turut mengambil kira kombinasi terbaik antara pemain tempatan dan import.
JDT bakal turun memburu satu lagi trofi domestik selepas mengekalkan dominasi dalam Liga Super selain membawa rekod cemerlang tanpa kalah ke final kali ini.