PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon menyifatkan keputusan seri 0-0 menentang Melaka dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi sebagai satu keputusan yang mengecewakan.
Menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, anak buahnya menguasai permainan serta mencipta banyak peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.
Beliau menjelaskan pasukannya sepatutnya mampu menjaringkan sekurang-kurangnya beberapa gol berdasarkan jumlah percubaan yang dihasilkan, namun berdepan kesukaran apabila lawan bertahan secara berkubu dengan ramai pemain berada di kawasan penalti.
“Jika dilihat daripada perlawanan kami sekurang-kurangnya boleh meledak lima gol, namun situasi menjadi sulit kerana ada masanya sembilan pemain lawan berada dalam kotak penalti yang menyukarkan usaha terbabit.
“Kadang-kadang ada masa aksi pemain tidak menjadi bukan sahaja dalam perlawanan ini, justeru semua ini perlu menjadikan pengajaran untuk bertindak lebih baik termasuk tindakan penyudah,” katanya.
Walaupun kecewa dengan kegagalan meraih tiga mata, Kim tidak menyalahkan mana-mana pemain dan tetap memuji komitmen serta usaha yang ditampilkan pasukannya sepanjang perlawanan.
Katanya, keputusan itu harus dijadikan pengajaran khususnya kepada jentera serangan untuk lebih tajam dan klinikal dalam memanfaatkan peluang yang terhidang.
Dalam masa sama, beliau menegaskan fokus Selangor kini adalah untuk mengekalkan kedudukan kedua liga, sambil mengakui tidak semua perlawanan akan berakhir dengan kemenangan.
“Bukan sepanjang masa pasukan mampu memperoleh kemenangan kerana ada masanya aksi pemain tidak menjadi namun 10 perlawanan yang dilalui setakat ini amat membanggakan,” jelasnya.