PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi yang baik dalam penampilan sulungnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 2026 meskipun tidak berjaya mengutip mata pada perlumbaan pembukaan, hari ini.
Bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, pelumba berusia 18 tahun itu memulakan perlumbaan dari petak ke-15 sebelum menamatkan saingan di kedudukan ke-18 selepas mengharungi perlumbaan yang kompetitif.
Hakim melintasi garisan penamat dengan ketinggalan 25.810 saat di belakang pemenang dari Sepanyol, David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) yang mencatat masa keseluruhan 32 minit 14.186 saat.
Tempat kedua menjadi milik Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team yang hanya dipisahkan 0.003 saat daripada Almansa, manakala Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3) melengkapkan podium di kedudukan ketiga dengan jurang 9.480 saat.
Walaupun gagal berada dalam kelompok pungutan mata, persembahan Hakim sebagai ‘rookie’ jelas memberi petanda positif apabila beliau berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok yang kompetitif.
Mengemudi jentera KTM, Hakim dilihat mampu mengekalkan konsistensi sepanjang perlumbaan selain bersaing rapat dengan beberapa pelumba lebih berpengalaman di grid Moto3.
Keputusan tersebut menjadi asas kukuh buat pelumba muda negara itu untuk memburu kedudukan lebih baik dalam pusingan seterusnya, sekali gus membuktikan potensinya sebagai prospek masa depan sukan permotoran negara di pentas dunia.