PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, menafikan dakwaan bahawa kelab itu akan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.

Menurutnya, segala khabar angin yang beredar sejak beberapa minggu lalu adalah tidak berasas.

“Kami tidak pernah menghantar surat penarikan diri kepada mana-mana pihak. KDA FC akan terus kekal dan komited untuk bersaing dalam Liga Super mengikut kemampuan kami,” katanya pada majlis pengumuman rakan strategik dan duta KDA FC pada Jumaat.

Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa KDA FC berdepan isu tunggakan gaji akibat masalah kewangan, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa juara Piala Malaysia lima kali itu akan menarik diri daripada Liga Super dan beraksi di liga lebih rendah musim depan.

Dalam majlis tersebut, KDA FC mengumumkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi BE ONE Network Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik. Selain itu, kelab turut memperkenalkan tiga duta baharu, iaitu penyanyi terkenal Hanifah Muhammad Hanafiah (Black), serta dua figura media digital, Muhd Iqbal Mohd Nor (CEO Batu) dan Mohd Irshad Shafiq Mohd Tahir (CEO Biezy).

Mohd Daud berharap kehadiran duta baharu ini dapat membantu memperluaskan promosi produk KDA FC, khususnya dalam usaha meningkatkan jumlah keahlian kelab penyokong rasmi, ‘The Wing’.

Menurutnya, keahlian penyokong amat penting bagi memastikan kelangsungan penajaan daripada syarikat luar negara.

“Sebuah syarikat antarabangsa menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dengan sasaran KDA FC memiliki antara 15,000 hingga 20,000 ahli penyokong berdaftar.

“Jika sasaran ini tercapai, syarikat tersebut bersetuju untuk membantu kami dalam masa terdekat,” katanya sambil memaklumkan bahawa jumlah keahlian kelab penyokong berdaftar ketika ini telah mencecah 10,000 orang.

FOTO : KDA FC