PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menyasarkan jumlah lebih daripada 20 atlet yang bakal memberi saingan di pentas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, keputusan sebenar masih belum diketahui kerana ianya hanya sasaran awal dan pihak MPM menjangka jumlah atlet ke Paris akan diumum pada Mei hadapan.

Setakat ini, terdapat sembilan wira paralimpik daripada empat kategori sukan sudah mengesahkan slot ke temasya sukan tersebut, iaitu dua atlet renang, dua memanah, dua olahraga dan tiga berbasikal.

Majlis Paralimpik Malaysia yakin para atlet masih berusaha untuk melayakkan diri ke temasya sukan Paralimpik Paris 2024.

Megat Shahriman turut menambah bahawa jumlah tersebut akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan ini memandangkan terdapat atlet yang masih menyertai kejohanan kelayakan ke Paris.

“Sembilan atlet sudah layak dan mungkin dalam bulan Mei kita akan mengetahui jumlah sebenar atlet yang akan layak ke Olimpik Paris.

“Kami menyasarkan lebih daripada 20 atlet yang akan ke Olimpik kerana kita perlu letakkan penanda aras kepada atlet supaya kita cakna segala hasil dan keputusan yang sedia ada, jika tidak kita akan leka.

Majlis MoU antara MPM dan sembilan rakan strategik telah berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kuala Lumpur.

“Sasaran itu penting untuk dijadikan garis panduan kepada para atlet bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu,” katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefaham (MoU) antara MPM dan Rakan Strategik TambahEMAS Sukan Paralimpik Paris 2024.

Sementara itu, sasaran untuk mendapatkan empat pingat emas di Sukan Paralimpik Paris masih tidak terpadam lagi buat Presiden MPM dan beliau berharap agar atlet mereka dapat mencipta rekod baharu dalam sejarah Sukan Paralimpik.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Paralimpik adalah di Tokyo 2020, dengan meraih tiga pingat emas dan dua perak, sekali gus mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.