PEMENANG pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin melakar sejarah baharu apabila berjaya memecah rekod dunia acara 72 kilogram (kg) pada penyertaannya di Kejohanan Angkat Berat Para Dunia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Atlet berasal dari Sarawak itu mempamerkan prestasi luar biasa, hingga sukar digugat peserta lain sekali gus membolehkannya membawa pulang pingat emas untuk negara.
Bonnie mengangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga, sekali gus memperbaharui rekod dilakarnya sebelum ini iaitu 230kg ketika saingan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11, pada Jun 2021.
Pencapaian luar biasa itu menyaksikan dia menewaskan wakil Itali, Donato Telesca yang melakukan catatan 202kg manakala gangsa pula dimenangi Bekzod Jamilov dari Uzbekistan menerusi angkatan 200 kg.
Sementara itu, Bonnie berkata, dia gembira apabila usaha gigih dan komitmen tinggi ketika latihan dibayar menerusi kejayaan memecah rekod dunia dalam kategori 72kg.
World Record!
Bonnie berjaya memecahkan rekod dunia miliknya dengan angkatan 231 kilogram (kg) dalam Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2023!Tahniah
Foto @MSNMALAYSIA pic.twitter.com/JMvAqpVbZT— Flash Sukan (@FlashSukan) August 25, 2023
“Saya gembira apabila dapat mengekalkan status sebagai juara dunia dan lebih baik lagi apabila mencipta rekod dunia baharu di kejohanan ini,” katanya.
Kejayaan itu juga menyaksikan Bonnie layak beraksi di temasya sama di Paris tahun depan.
Mengikut rekod, Bonnie sebelum ini pernah mencipta sensasi apabila meraih gelaran juara dunia pada 2019 dan 2021.
Pada tahun lalu, dia turut cemerlang menyumbang emas kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Untuk rekod, Bonnie dinobat Olahragawan Paralimpik, sempena Anugerah Sukan Negara 2021, bulan lalu.