KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak  memuji kapten pasukannya, Paulo Josue dan penjaring dua gol, Jordan Mintah ketika aksi kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA).

Kemasukan Josue berjaya merubah permainan dan KL City berjaya menghukum kesilapan KDA FC dan berjaya mengutip tiga mata sekaligus melonjak ke tangga keempat Liga Super.

“Seperti yang dijangkakan ianya perlawanan yang sukar. Kedah adalah pasukan yang bagus. Keadaan padang kurang memuaskan kerana mempunyai lubang yang membuatkan bola melantun. Namun kita berjaya mencipta peluang dan dapat menjaringkan dua gol tetapi apa yang penting adalah tiga mata.

“Paulo adalah kapten kami yang fantastik. Kemasukannya berjaya mengubah corak permainan dan dia berjaya menutup segala ruang kosong yang ada. Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan kita akan lakukannya langkah demi langkah.

“Mintah menjaringkan dua gol penting dan itulah yang seharusnya dilakukan oleh seorang penyerang. Romel Morales juga mempunyai banyak peluang tetapi nasib masih tidak menyebelahi dirinya,” kata Hodak ketika sidang media selepas perlawanan.

Bercakap mengenai persiapan pasukan menjelang pertemuan dengan JDT pada Isnin, Bojan berkata pasukan yang bermain dalam kejohanan benua tidak mendapat rehat yang secukupnya namun berharap dapat melakukan sesuatu yang positif di Iskandar Puteri nanti.

Dalam pada itu, Mintah akhirnya membuka akaun jaringannya bersama KL City selepas dipinjamkan dari Terengganu FC dan Bojan pastinya gembira dengan perkembangan ini menjelang aksi bertemu juara bertahan liga nanti.

Kemenangan ini melonjakkan KL City ke tangga keempat Liga Super dengan 18 mata, satu mata mengatasi Kedah yang kini di tangga kelima.