JUARA lapan kali, Jerman bakal menambah koleksi kejuaraan apabila mara ke final Euro Wanita 2022 selepas menundukkan Perancis 2-1 dalam aksi awal pagi ini.

Alexandra Popp muncul wira skuad ‘Die Mannschaft‘ apabila menyumbat dua gol pada minit ke-40 dan 76 sekaligus memastikan kemenangan diraih skuad tersebut untuk menempah slot ke final.

Gol saguhati Les Blues diperoleh hasil rembatan kencang Kadidiatou Diani yang terkena tiang gol dan penjaga gol tertampan bola ke gawang sendiri menyaksikan jaringan sendiri dilakukan Merle Frohms.

Menanti Jerman di pentas akhir adalah England yang melakar kemenangan besar ke atas Sweden sekaligus bakal membuat perhitungan dengan juara lapan kali itu.

Aksi di pentas akhir pastinya menjanjikan aksi menarik lebih-lebih lagi apabila perlawanan tersebut bakal dilangsungkan di Stadium Wembley.

Sorakan penyokong di laman sendiri pastinya membakar semangat England untuk menamatkan penantian 13 tahun untuk mara ke final Euro Wanita 2022 selepas kali terakhir melakukannya pada Euro 2009 di Finland.

Andai England berjaya mengatasi Jerman di final, ia merupakan detik bersejarah buat pasukan itu apabila bakal merangkul kejuaraan sulung.

Jerman pula dilihat pasti berazam melebarkan rekod kemenangan dengan kejuaraan ke-9 Euro Wanita 2022 sekiranya berjaya menewaskan England dan membuktikan mereka gergasi besar bolasepak Eropah.