HASRAT Terengganu FC (TFC) untuk kembali ke landasan kemenangan tidak kesampaian apabila seri 0-0 dengan Negeri Sembilan FC pada Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Rabu malam.
Beraksi dalam cuaca buruk, TFC terlebih dahulu memiliki peluang pada minit ke-12 menerusi Kipre Tchetche namun sepakan leretnya di dalam kotak penalti tersasar ke sebelah kiri pintu gol lawan.
Pengadil, Mohamad Zamzaidi Katimin kemudian menghentikan permainan selama sejam selepas hujan terlalu lebat dan cuaca buruk ketika aksi memasuki minit ke-13.
Sebaik permainan diteruskan TFC terus berusaha memecahkan kebuntuan namun tolakan Kpah Sherman (m-36) disusuli voli Tchetche dari kawasan berbahaya gagal memenui sasaran.
Bersambung babak kedua tuan rumah kehilangan rentak menyaksikan perlawanan dikuasai Negeri Sembilan FC yang hadir melalui percubaan Matheus Alves pada minit ke-67 dan ke-73.
Peluan terbaik TFC menjelma melalui gerakan solo Faisal Abdul Halim pada minit ke-76 namun Ahmad Syihan lebih cemerlang menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Pemain tengah, Manuel Ott hampir menceriakan TFC hasil rembatan padu pada minit ke-87 malangnya sekadar menggegar palang dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat.