BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dikejutkan dengan penyingkiran awal apabila tewas kepada pasangan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun pada pusingan pertama Terbuka Jepun di Tokyo, hari ini.
Pasangan ranking kelima dunia itu yang memenangi set pertama 21-9 gagal mengekalkan momentum sebelum akur 17-21, 17-21 dalam dua set berikutnya untuk tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 750 itu.
“Pada mata-mata penting, kami terlalu terburu-buru untuk mematikan pukulan dan ia menyebabkan banyak kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Kami gagal mendapatkan mata ketika saat genting kerana terlalu tergesa-gesa dan saya rasa itulah punca kami kalah hari ini,” kata Pearly.
Thinaah pula mengakui tempoh lama tidak beraksi sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan mereka, selain mengakui lawan lebih tenang ketika mengharungi mata-mata kritikal.
“Saya rasa sudah agak lama kami tidak beraksi dan pihak lawan bermain dengan sangat baik terutama pada mata-mata penting dalam set kedua dan ketiga. Itu yang benar-benar memberi tekanan kepada kami sehingga tamat perlawanan,” katanya.
Sementara itu, perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching turut menamatkan cabaran seawal pusingan pertama selepas tewas 14-21, 11-21 kepada bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu dalam tempoh 35 minit.