KURANG sebulan sebelum sepak mula aksi persahabatan berprofil tinggi antara Chelsea FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), persiapan penganjuran kini memasuki fasa akhir bagi memastikan perlawanan itu berlangsung mengikut piawaian antarabangsa.

Perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 Ogos depan dijangka menjadi antara acara bola sepak terbesar di Malaysia tahun ini dengan kehadiran ribuan penyokong dari seluruh negara serta rantau Asia Tenggara. 

Pihak penganjur kini sedang memperkemaskan semua aspek operasi dengan kerjasama badan induk bola sepak, agensi kerajaan, penyiar rasmi, pasukan keselamatan serta rakan strategik bagi memastikan pengalaman terbaik dapat dinikmati penyokong di dalam dan luar stadium. 

Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan setiap elemen penganjuran memenuhi standard antarabangsa yang setanding dengan reputasi dua kelab berkenaan.

Menurutnya, persiapan bukan hanya tertumpu kepada aspek perlawanan, malah melibatkan operasi penyiaran, pengurusan media serta pengalaman penyokong sepanjang acara berlangsung.

Beliau turut menyifatkan perlawanan itu sebagai peluang terbaik untuk memperlihatkan kemampuan Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara sukan bertaraf dunia. 

Bagi JDT, aksi menentang Chelsea dilihat sebagai medan terbaik menguji kemampuan pasukan menjelang musim baharu saingan domestik dan Asia, manakala Chelsea pula meneruskan usaha mendekati penyokong mereka di rantau Asia yang mempunyai jumlah peminat yang besar. 

Sambutan terhadap perlawanan itu terus menggalakkan sejak jualan tiket dibuka dengan penyokong dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan beberapa negara jiran dijangka membanjiri Stadium Sultan Ibrahim yang diiktiraf sebagai antara stadium bola sepak terbaik di Asia. 

Penganjur turut memaklumkan baki tiket semakin berkurangan dan menggesa penyokong mendapatkan tempat lebih awal menerusi platform jualan rasmi.

Harga tiket bermula daripada RM154 sehingga RM1,254 bagi kategori VIP, dengan empat kategori tempat duduk ditawarkan kepada penyokong.