BEREGU no.2 dunia, Pearly Tan-M Thinaah jelas sudah menutup buku Sukan SEA apabila tampil dengan minda segar dan tenang untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut di Jelajah Dunia Akhir (WTF) BWF di Hangzhou.

Dalam kondisi gelanggang yang perlahan, beregu utama negara itu kekal menikmati permainan sebelum menundukkan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-13, 21-18 dalam masa 36 minit.

Thinaah mengakui detik mencabar di set kedua berjaya diatasi hasil saling mengingatkan sesama sendiri mengenai pelan permainan.

“Kami just kept reminding each other about our gameplay, our strategy, and how to be more calm,” kata Thinaah kepada BWF.

Bersatu hati… Pearly Tan-M Thinaah saling menyokong, untuk memastikan mereka sentiasa berada di tahap tertinggi dalam perlawanan. | FOTO MOM

Pearly pula menegaskan cabaran sebenar adalah dari sudut mental, apabila terlalu ghairah mencari mata menerusi serangan sehingga menyebabkan kesilapan mudah.

“Saya berterima kasih kepada Thinaah and also coaches behind reminding me to stay calm and to play back our own game plan,” tambah Pearly.

Mengulas keadaan gelanggang yang perlahan, Thinaah berkata, mereka memilih pendekatan mudah dengan menikmati permainan kerana pergerakan shuttle yang perlahan, laju atau apa sahaja, yang penting mereka menyokong satu sama lain.

Pearly turut mengakui dua kemenangan berturut-turut saingan kumpulan A di Jelajah Dunia Akhir memberi suntikan keyakinan menjelang pertemuan Yuki Fushima-Mayu Matsumoto (Jepun) pada perlawanan terakhir kumpulan esok.