BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei semakin pudar dari status juara dunia selepas kalah seawal pusingan pertama Terbuka India, hari ini.

Pasangan pilihan keempat itu akur tewas straight set 16-21, 19-21 kepada wakil China, Cheng Xing-Zhang Chi dalam perlawanan di Kompleks Sukan Indira Gandhi.

Tang Jie–Ee Wei gagal mengawal tempo permainan lawan yang lebih kemas dan konsisten meskipun cuba bangkit pada set kedua sebelum kecundang selepas 40 minit aksi.

“Sama seperti di Terbuka Malaysia, kami akan cuba mencari penyelesaian secepat mungkin dalam mendapatkan semula corak permainan kami,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kekalahan berkenaan menyaksikan kempen beregu campuran negara terjejas awal dengan harapan kini disandarkan kepada wakil profesional yang mara ke pusingan kedua.

Minggu lalu di Terbuka Malaysia, Tang Jie–Ee Wei mempamerkan prestasi lebih meyakinkan apabila mara ke suku akhir sebelum tewas kepada beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dalam aksi 67 minit di Axiata Arena.

Dalam pada itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai dijadual menentang pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, manakala Jimmy Wong-Lai Pei Jing bakal berdepan pemenang pertemuan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau gandingan Denmark, Mads Vestergaard–Christine Busch.