IMPIAN Malaysia untuk kembali beraksi di pentas Piala Dunia boleh bermula lebih awal jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berani mengubah pendekatan pembangunan akar umbi, khususnya dengan mengekalkan jurulatih sama dari usia 13 tahun hingga ke peringkat kelayakan Piala Asia B-17.

Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Christopher Raj yang menegaskan ketidakstabilan barisan kejurulatihan menjadi antara punca utama kegagalan pasukan muda negara layak ke Piala Asia B-17 sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurutnya, seorang jurulatih terbaik perlu dilantik seawal usia 13 tahun dan diberi kepercayaan penuh untuk membentuk pasukan secara berperingkat sehingga ke usia 16 tahun, sekali gus membina kefahaman mendalam terhadap pemain dan falsafah permainan yang jelas.

“Kalau kita nak layak Piala Dunia, jalan paling sesuai adalah dengan memberi tumpuan kepada Piala Dunia B-17 dulu. Sekarang kejohanan itu diadakan setiap tahun, jadi kita boleh rancang dari awal. Lantik jurulatih terbaik, biarkan dia bersama pasukan dari umur 13 hingga 16 tahun,” katanya.

Christopher, yang pernah menggalas peranan sebagai pengurus skuad B-16 negara, melihat pertukaran jurulatih secara kerap memberi kesan besar kepada prestasi pasukan. Katanya, ada jurulatih yang terpaksa mewarisi pemain pilihan orang lain tanpa masa mencukupi untuk memahami kekuatan dan kelemahan skuad.

“Apa yang saya lihat, jurulatih sering bertukar dan ada yang tak sempat kenal pemain sendiri. Itu satu kelemahan besar. Jurulatih perlu membentuk pemain dari awal, bukan sekadar sambung apa yang ditinggalkan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan sokongan penuh perlu diberikan kepada jurulatih termasuk pendedahan antarabangsa dan pemantauan teknikal yang berterusan agar proses pembangunan berjalan seiring dengan standard bola sepak moden. Kegagalan tiga pasukan muda Harimau Malaya B-17, B-19 dan B-23 melayakkan diri ke Piala Asia baru-baru ini dianggap isyarat jelas bahawa perubahan perlu dilakukan segera.

“Bagi saya, pentas Piala Asia B-17 adalah medan paling realistik untuk kita ke Piala Dunia. Jika kita konsisten layak ke Piala Asia B-17, peluang itu sentiasa ada. Pemain muda kita sebenarnya ada potensi besar,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan di peringkat akar umbi memerlukan perancangan rapi dan kesabaran jangka panjang, bukannya keputusan segera. “Kita perlu lahirkan pemain muda tempatan berkualiti dulu. Jika asas itu kuat, tak mustahil satu hari nanti kita mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.