PENGENDALI Selangor FC, Michael Feichtenbeiner memberitahu pemain-pemainnya sentiasa berada dalam tekanan terutama daripada penyokong sejak dari permulaan musim.

Dia turut menyatakan bahawa pasukannya banyak mencipta peluang namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan sekaligus menyebabkan Selangor FC kehilangan banyak mata.

Jurulatih dari Jerman ini juga mengakui sekarang bukanlah masa yang mudah untuk menjadi Ketua Jurulatih Selangor FC tetapi dia menganggapnya tiada masalah selagi penyokong tetap memberikan sokongan penuh kepada pasukan.

“Sejak dari permulaan musim para pemain kami sudah berada dalam keadaan tertekan untuk memberikan keputusan terbaik pada setiap perlawanan kepada para penyokong.

“Jangkaan untuk pasukan Selangor FC sentiasa tinggi dan kadang kala ianya terlalu tinggi hingga memberi tekanan kepada para pemain. Tetapi ini adalah cabaran yang perlu dihadapi mereka sebagai pemain professional.

“Kita banyak mencipta peluang tetapi masalah utama kita adalah gagal menjaringkan gol menerusi peluang yang dicipta itu. Ini menyebabkan Selangor FC kehilangan banyak mata kerana kegagalan menjaringkan gol,” jelas Michael.

Ditanya mengenai persiapan pasukan menjelang aksi Derbi Lembah Klang untuk Piala FA, Michael menjelaskan tekanan akan semakin bertambah sekiranya mereka masih gagal meraih kemenangan.

“Selagi kita tidak mencapai kemenangan, tekanan akan terus meningkat. Tetapi selagi para penyokong masih percaya dan terus menyokong kami, saya gembira dengan keadaan ini.

“Bukan mudah di waktu ini untuk menjadi Ketua Jurulatih Selangor FC. Saya tidak ada masalah jika penyokong marah kepada saya kerana ianya sebahagian daripada tugas saya dan hanya perlu menutup telefon bimbit saya selama beberapa hari.

Selangor FC kini semakin dihimpit tekanan terutama daripada penyokong baik di stadium mahupun media sosial dan kini akan berhadapan Kuala Lumpur City FC pada aksi Piala FA Jumaat ini.