MENJELANG Kongres FAM pada 17 September ini, kemampuan dan rekod calon perlu menjadi pertimbangan utama dalam menentukan barisan kepimpinan baharu

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bukan populariti atau kepentingan peribadi.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Christopher Raj berkata calon yang tidak mempunyai kredibiliti yang baik di peringkat negeri atau kelab berpotensi menjadi beban kepada persatuan itu sekiranya dipilih.

Christopher menegaskan bahawa calon yang masih gagal menyelesaikan masalah asas seperti tunggakan gaji dan caruman pekerja tidak wajar melangkah ke peringkat kebangsaan kerana dibimbangi akan memburukkan lagi tadbir urus FAM.

“Saya berpendapat demikian kerana sekiranya anda sendiri tidak mampu berfungsi sepenuhnya di peringkat negeri atau kelab, kemudian membawa masalah tersebut ke persatuan kebangsaan, perkara ini hanya akan memudaratkan persatuan itu.

“Bagi saya, jika masalah di peringkat negeri dan kelab masih belum dapat diselesaikan dan kemampuan untuk menguruskannya juga terbatas, saya tidak akan menawarkan diri untuk bertanding,” tambah beliau dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “FAM: Menanti Kepimpinan Baharu, Menuntut Perubahan” malam tadi.

Beliau turut berkata FAM kini berdepan situasi genting, justeru barisan kepimpinan baharu perlu memiliki keupayaan untuk memulihkan keadaan, bukannya menambah lagi masalah yang sedia ada.

Pemilihan kali ini amat penting kerana para perwakilan mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju FAM dan memastikan badan induk itu kembali berada di landasan yang betul.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap berkata kepimpinan baharu FAM perlu menetapkan hala tuju yang jelas dengan memberi keutamaan kepada aspek penting termasuk prestasi skuad kebangsaan, tadbir urus dan pembangunan bola sepak akar umbi.

Menurut beliau, perubahan perlu dilakukan segera kerana penyokong bola sepak Malaysia kini tidak mahu menunggu terlalu lama untuk melihat pembaharuan berlaku.

“Peminat bola sepak Malaysia sudah tidak mahu menunggu lama dan mereka mahu melihat perubahan itu berlaku dalam masa yang terdekat,” tambah beliau.

Selain itu, mengulas persaingan jawatan presiden antara Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar, Norismadi menjangkakan saingan sengit memandangkan kedua-dua calon mempunyai latar belakang serta kekuatan yang berbeza.

Beliau turut menegaskan bahawa undian perwakilan bakal menjadi penentu utama kepada maruah dan masa depan FAM selepas persatuan itu terpalit dengan siasatan daripada FIFA dan AFC.

Justeru, beliau berharap para perwakilan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan yang matang bagi menentukan individu yang mampu membawa FAM keluar daripada situasi semasa.

Kredit: Ruang Bicara terbitan Bernama TV