Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan berdepan misi wajib menang ke atas China hari ini dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2026 untuk menempah slot ke pentas separuh akhir.
Young Tigers terlepas peluang mengesahkan tiket awal sebagai juara Kumpulan B selepas tewas 2-5 kepada Pakistan semalam disebabkan kelekaaan dalam tempoh sembilan minit membenarkan lawan menjaringkan lima gol.
Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan bahawa barisan pemain akan turun bermati-matian untuk menewaskan China bagi merealisasikan sasaran mara ke separuh akhir.
“China bukan macam Pakistan dari segi kemahiran dribble tetapi pertahanan mereka juga tak mudah untuk ditembusi. Kita tiada pilihan dan paling penting kita mesti jaringkan gol.
“Mereka nak pergi ke final dan kemenangan dengan China akan membolehkan kita ke separuh akhir. Saya harap pemain dapat beraksi dengan baik, menjaringkan gol dan kurangkan kesilapan di bahagian bawah.
“Kita juga akan terapkan taktikal yang berbeza sebab corak permainan China berlainan dengan Pakistan. Jadi esok adalah perlawanan wajib menang,” katanya.
Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan bermula positif dengan mendahului 1-0 dalam babak pertama menerusi penalti stroke disudahkan Muhammad Safwan Salihe seawal minit kesembilan.
Di suku ketiga, Young Tigers tersentak dengan kebangkitan Pakistan yang meledak lima gol dalam tempoh sembilan minit menerusi Nadeem Khan pada minit ke-32, Rana Abdul Rana Sami (m-36), Waleed Rana (m-39, m-40) dan Hamza Ali (m-41).
Percubaan demi percubaan skuad muda negara untuk mendapatkan tambahan jaringan berhasil di minit ke-54 menerusi pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan, namun ia sudah terlambat apabila aksi tamat 2-5.
“Sebenarnya kita tak tak main teruk, cuma kita terlelap di suku ketiga, bagi lima gol kepada Pakistan. Kita juga ada banyak peluang di suku pertama dan kedua tetapi kita tak cuba tamatkan perlawanan.
“Jadi pemain kena belajar macam mana nak kekal fokus dalam setiap suku masa dan juga disiplin permainan. Sebab kita dah beritahu pemain Pakistan banyak lakukan dribbling, kita pula banyak buat throwing tackle,” tambah Nor Saiful.
Secara tak langsung Pakistan menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 sekali gus menyambar tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.