MALAYSIA mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia Remaja FIH 2027 selepas Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas China dalam aksi Piala Asia Remaja 2026, hari ini.

Kemenangan hasil gol tunggal dijaringkan oleh Muhammad Safwan Salihe menerusi penalti sudut menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini layak ke separuh akhir selain layak ke secara merit ke pentas Piala Dunia Remaja FIH 2027.
“Perlawanan pertama selalunya sukar untuk mana-mana pasukan, jadi kita nampak hari ini China bermain dengan baik dan disiplin pertahanan kita agak baik walaupun ada sedikit kesilapan,” kata Nor Saiful.

Malaysia bagaimanapun berdepan cabaran sengit daripada China apabila beberapa peluang yang dicipta di kawasan D gagal disudahkan, namun kecekapan pertahanan membantu skuad negara mengekalkan kelebihan sehingga tamat perlawanan.

“Dari segi penyudah, kita ada banyak peluang di kawasan D tetapi kita tidak dapat menjaringkan gol, kita dapat satu penalti sudut dan kita jaringkan gol,” tambah beliau.

Nor Saiful turut memuji disiplin pertahanan pasukannya yang berjaya mengekang beberapa serangan balas berbahaya China, sebelum mengingatkan pemain supaya segera melakukan pemulihan bagi menghadapi aksi seterusnya.
“Pada masa yang sama, China juga banyak buat serangan balas yang berbahaya dan kita berjaya bertahan dengan baik.

“Untuk perlawanan esok yang lebih sukar, apa yang penting adalah proses recovery pemain kerana perlawanan berturut-turut, kita perlu pastikan pemain bersedia dari segi fizikal dan mental, kurangkan kesilapan mudah dan kita akan fokus untuk cuba dapatkan keputusan positif esok,” ulas beliau mengenai persiapan pasukan.

Young Tigers kini akan mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir menentang India dalam usaha meneruskan pemburuan kejuaraan Piala Asia Remaja 2026, selepas tiket ke Piala Dunia Remaja FIH 2027 sudah berada dalam genggaman.

Dalam pada itu, Skuad Hoki Remaja Wanita Kebangsaan tewas 0-5 kepada Jepun dan kini akan berdepan Korea pada aksi suku akhir Women’s Junior Asia Cup 2026 esok.