PERAK bersetuju untuk menerima tawaran geran daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput baharu di Stadium Perak.
Hal ini sebagai persiapan pasukan Perak FC sendiri bagi menghadapi saingan musim baharu bola sepak Liga Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah menyatakan persetujuan bagi pihaknya telah dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri seterusnya sebulat suara untuk menerima geran tersebut.

“Kita sudah terima surat tawaran daripada KBS baru-baru ini dan perkara ini sudah dibincangkan dalam MMK negeri Selasa lalu, jadi kita memuktamadkan untuk terima tawaran yang dikemukakan KBS.
“Bagaimanapun, kita masih belum memutuskan untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia atau Bermuda, kerana mahu melihat kesesuaian penanaman rumput jenis apa yang paling sesuai,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu, Khairudin turut berkongsi bahawa Perak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga MSSM ke-64 dan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas ke-22 MSSM 2024, yang akan berlangsung Oktober depan.

Menurutnya, Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM ke-22 dijadualkan bermula pada 6 hingga 10 Oktober, manakala Kejohanan Olahraga MSSM pula bermula 18 hingga 25 Oktober bertempat di Stadium Perak dan Stadium Ragbi Perak.
Artikel Berkaitan: Exco Sukan Negeri sambut baik peruntukan geran KBS dan sumbangan TMJ
Terdahulu, Menteri KBS Hannah Yeoh telah mengumumkan bahawa kementerian menawarkan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri, bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput bagi membantu pasukan menyediakan ‘venue’ yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan musim baharu Liga Malaysia.
Daripada jumlah itu, RM300,000 untuk kos naik taraf saliran dan selebihnya adalah bagi geran penanaman rumput yang dihulurkan kepada negeri.