SKUAD Korea Selatan berjaya mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Bagaimanapun, pengendalinya, Jurgen Klinsmann menyifatkan bahawa saingan di Kumpulan E Piala Asia adalah yang paling sukar dihadapi.

Bahrain, Jordan dan Malaysia antara negara yang beraksi di dalam Kumpulan E tersebut selain daripada pasukan Korea Selatan.

“Ia merupakan satu lagi drama. Dalam aksi yang penuh cabaran ketika menentang Australia di suku akhir, selepas itu kami berjaya mara ke separuh akhir. Saya sangat bangga.

“Saya turut boleh merasakan bahawa prestasi skuad bertambah baik hanya sewaktu kami ketinggalan 0-1.

Dan kami akan berjumpa dengan Jordan di separuh akhir serta tidak dinafikan Jordan satu pasukan yang hebat. Kumpulan E kami adalah kumpulan yang mencabar dengan dua pasukan mara ke separuh akhir,” jelas Klinsmann dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam Sport Chosun.

Korea Selatan berjaya membuktikan kehebatannya selepas menundukkan pasukan Australia dengan keputusan 2-1 sekali gus melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Manakala satu lagi pasukan di Kumpulan E, Jordan telah mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan Tajikistan.

Dengan itu, aksi seterusnya bakal menyaksikan dua skuad gergasi iaitu Jordan dan Korea Selatan yang akan bersaing untuk merebut posisi di pentas akhir piala berprestij dan sepak mula dijadualkan akan berlangsung pada 6 Februari 2024.

Satu lagi perlawanan separuh akhir yang bakal mencuri tumpuan melibatkan pasukan Qatar dan Iran yang akan beraksi pada hari seterusnya, 7 Februari.