PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan bajet sebanyak RM 2 juta untuk penganjuran Kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed, peruntukan yang dikeluarkan itu sebagai satu tanda bahawa bola sepak di peringkat akar umbi ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak FAM.

Perkara tersebut demi memastikan mereka dapat mengekalkan momentum yang sedia ada untuk di bawa ke peringkat seterusnya, mungkin bersama dengan pasukan senior kelak.

Selangor dinobatkan sebagai juara Piala Belia musim lalu.

“Setiap tahun kita anjurkan Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi saya ingin melihat prestasi pasukan yang beraksi bawa umur ini meningkat.

“Saya mohon maaf dahulu untuk mengatakan bahawa, kita masih belum dapat melihat pasukan di peringkat belia ini dapat melonjakkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Jadi, saya berharap agar pasukan yang bertanding jangan cepat berasa selesa. Kita kena pastikan bahawa mutu setiap pasukan di peringkat belia ini sentiasa ditingkatkan,” ujar beliau ketika sesi sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Dali Wahid tidak mahu insiden pergaduhan terus berulang dalam saingan bola sepak musim ini.

 

Kawalan keselamatan di kawasan stadium

Berhubung kawalan keselamatan semasa hari-hari perlawanan piala bawahan pula, pihak badan induk bola sepak Malaysia menegaskan bahawa mereka telah memastikan supaya dasar keselamatan dari aspek kawalan pihak polis akan sentiasa memantau aktiviti di kawasan stadium semasa perlawanan berlangsung.

Perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid yang tidak mahu insiden pergaduhan seperti yang terjadi sebelum ini, berulang kembali pada musim ini.

Pihak polis akan terus memantau keadaan di stadium atau gelanggang terbuka demi memastikan keselamatan terjaga. (Gambar hiasan)

“PDRM mengambil berat isu-isu pergaduhan yang berlaku sama ada perlawanan M3, Piala Presiden, Piala Belia, M4, dan M5 yang bermain di gelanggang terbuka.

“Untuk tahun ini, kita Jawatankuasa Keselamatan sudah mengadakan mesyuarat dan PDRM akan menempatkan anggota di semua venue di mana pertandingan dilangsungkan. Jadi kita akan ambil tindakan tegas atas insiden yang berlaku sebelum ini agar tidak berulang,” kata beliau.