PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee gembira kerana pemainnya cepat mengadaptasi keadaan cuaca yang berubah dan tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang ketika menewaskan Hougang United 4-1 dalam aksi kelima Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Khamis.

Gol-gol daripada Ramon Machado dan Darren Lok serta dua gol sendiri dari pemain lawan memastikan Sabah mengutip tiga mata penuh sekaligus layak ke peringkat zonal semi final Asean selaku juara Kumpulan H.

“Gol awal banyak membantu kami menambah tekanan kepada Hougang dan secara keseluruhan pemain menunjukkan persembahan yang begitu baik untuk membawa pulang tiga mata yang lebih penting dari jaringan gol.

“Selepas kami menjaringkan gol pertama, kami perlu kembali ke bilik persalinan dan perlu melakukan sedikit perubahan apabila perlawanan bersambung kerana padang dalam keadaan bertakung tetapi selepas 10 minit, kami sudah kembali biasa dan pemain faham apa yang perlu dilakukan dengan tidak bermain hantaran pendek,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee juga lega kerana sasaran awal untuk menjuarai kumpulan dapat dicapai ketika kejohanan berbaki satu perlawanan dan dia kini mempunyai masa yang panjang untuk mempersiapkan pasukan menjelang aksi semi final zonal yang mana lawannya akan ditentukan menerusi undian pada 21 Disember 2023.

“Sasaran pertama kami adalah layak ke peringkat seterusnya dan kini kami berjaya ke peringkat zonal semi final dan ini adalah pencapaian yang baik.

“Sudah tentu kami mahu pergi lebih jauh kerana kami mempunyai banyak masa untuk lakukan persiapan dan saya boleh lakukan penggiliran pemain dalam baki tiga perlawanan selepas ini,” jelasnya.

Sabah kini akan melengkapkan aksi Kumpulan H bertemu PSM Makassar pada 14 Disember di Stadium Likas sebelum mengetahui lawan mereka di peringkat separuh akhir zon Asean yang akan berlangsung pada Februari 2024.