KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menaruh harapan agar Majlis Sukan Negara (MSN) menyalurkan dana tambahan kepada mereka yang sedang mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kelayakan Olimpik Paris 2024.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada MSN agar badan induk itu diberikan peruntukan tambahan bagi menghadapi saingan di Oman dan Sepanyol.

“Alhamdulillah mesyuarat telah menerima dengan hati yang terbuka dan akan mempertimbangkan permintaan kami terutama untuk pasukan wanita,” katanya, mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Skuad hoki wanita ikat Korea Selatan dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di India baru-baru ini. |Foto by AHF / Hockey India

Pada mesyuarat yang sama juga, Subahan lega apabila diberitahu skuad hoki lelaki dan wanita, yang masing-masing menamatkan saingan Sukan Asia di kedudukan keenam dan kelima, masih dikekalkan dalam Program Podium sehingga tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Januari depan.

Menurut Subahan, dalam mesyuarat itu, MSN bersetuju terus memberi sokongan kepada KHM bagi mempersiapkan pasukan lelaki dan wanita negara menghadapi kejohanan pusingan kelayakan ke Paris.

Skuad lelaki akan beraksi di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari depan manakala pasukan wanita akan menyertai saingan di Valencia, Sepanyol dari 14 hingga 24 Januari.

Pasukan hoki lelaki kebangsaan mempamer prestasi di bawah par pada temasya Sukan Asia Hangzhou.

“Kami berterima kasih kepada MSN kerana selepas perbincangan, skuad lelaki masih dikekalkan dalam Program Podium sehinggalah pusingan kelayakan pada Januari.

“Begitu juga dengan skuad wanita yang patutnya kedudukan mereka dalam podium sebenarnya tamat pada Oktober lalu selepas Sukan Asia Hangzhou. Namun, selepas kita merayu dan Alhamdulillah ia dipersetujui untuk diteruskan sehingga pusingan kelayakan,” katanya.

Tambah Subahan, sama ada hoki akan terus dikekalkan dalam Program Podium selepas berakhirnya pusingan kelayakan Olimpik, ia bergantung kepada keputusan di kejohanan itu nanti.

Pada kejohanan di Muscat, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama Great Britain, Pakistan dan China manakala pasukan wanita akan berentap dengan Great Britain, Sepanyol dan Kanada di Valencia.