KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee optimis pasukannya mampu melakar keputusan positif dalam saingan Piala AFC musim ini dengan tiga mata penuh diharapkan pada aksi pembukaan Kumpulan H menentang Hougang United di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.

Dia yang ditemui ketika sidang media pra perlawanan mengakui Sabah FC layak untuk berada di kejohanan tier kedua bola sepak Asia ini hasil kerja keras para pemain selain dorongan daripada penyokong yang sentiasa mempunyai keyakinan terhadap pasukan.

“Bagus untuk Sabah kembali ke peringkat ini dan tidak sabar untuk beraksi. Kami di sini adalah hasil usaha keras semua di kelab ini dan juga sokongan penyokong yang sentiasa berada di belakang kami. Para pemain akan memberikan satu aksi yang menarik untuk dapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini.

“Dalam setiap perlawanan berbeza terutama dalam Piala AFC dan meskipun lawan sering bermain di padang tiruan, tetapi mereka telah lama bermain bersama dan kita tidak boleh mengambil mudah kerana kita tahu apa yang perlu dilakukan untuk dapatkan keputusan positif,” katanya.

Kim Swee juga menjelaskan objektif Sabah FC dalam kejohanan ini dan dia yakin mereka mampu mencapainya kerana mempunyai pemain yang sudah berpengalaman bermain di peringkat tertinggi sama ada untuk kelab atau negara.

“Kita mempunyai objektif dalam semua kejohanan yang kita sertai dan mahu pergi lebih jauh seperti yang dilakukan JDT dan KL City. Tetapi kami akan fokus satu per satu perlawanan bagi memastikan kita tidak memikirkan terlampau jauh kerana masih ada perlawanan selain Piala AFC juga.

“Pemain tidak ada tekanan kerana mereka mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan mampu mengawal tekanan dengan baik dan ini adalah kelebihan buat kami tetapi kami tidak mengambil mudah,” tambahnya lagi.

Dia juga menyeru para penyokong Skuad Badak untuk hadir memberikan sokongan kerana ianya sangat penting untuk menjadi pemangkin semangat buat para pemain ketika beraksi di pentas Asia.

“Saya perhatikan kehadiran penyokong kebelakangan ini sedikit berkurangan. Saya menyeru kehadiran penyokong kerana ianya penting untuk memberi semangat buat pasukan. Saya faham ini bukan perlawanan hujung minggu tetapi saya yakin penyokong setia akan hadir ke stadium memberi sokongan,” jelasnya.

Sabah juga akan mengekalkan pemain yang ada ketika ini dengan ada beberapa pemain yang dilanda kecederaan tetapi Kim Swee tidak risau kerana dia masih mempunyai 24 jam untuk menentukan siapakah bakal diletakkan dalam senarai kesebelasan utama.