IMIGRESEN FC mara ke pusingan kedua selepas membenam cabaran BRM Kuala Kangsar FC 1-0 pada pusingan pertama Piala FA, 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras pada Sabtu.

Gol tunggal jaringan Abdul Azim Rahim pada minit kesembilan dilihat sudah cukup memadai untuk mengesahkan kemenangan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu.

Kedua-dua pasukan dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.

Skuad The Mighty Tigers berjaya menjaringkan gol awal apabila pemain penyerang, Abdul Azim mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Kamarul Effandi Abdul Rahim.

 Gol tunggal Abdul Azim cukup membawa Imigresen ke pusingan kedua Piala FA 2023.

Imigresen yang muncul pemenang bagi perlawanan ini akan bertemu Kuala Lumpur City FC di pusingan seterusnya.

Dalam kedudukan Liga M3, Imigresen kini berada tangga keempat selepas meraih dua kemenangan dan satu seri untuk mengumpul tujuh mata manakala Kuala Kangsar BRM FC pula dikedudukan kesembilan selepas hanya mengutip tiga mata hasil satu seri dan dua kekalahan.

Sementara itu, Manjung City FC juga tidak menghadapi masalah menundukkan Sains FC dengan kemenangan 2-0 dalam satu lagi pertemuan pusingan pertama di Stadium Mini Manjung.

Menanti Manjung City FC pada pusingan kedua Piala FA adalah Kelantan FC.