SKUAD badminton negara dijangka terpaksa menempuh laluan berliku pada saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China 14 hingga 21 Mei depan.
Menerusi undian secara maya di Suzhou hari ini, Malaysia yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, diundi dalam kumpulan C, bersama Taiwan, India dan Australia.
Berdasarkan kedudukan ranking dan percaturan di atas kertas, status pilihan dimiliki skuad negara seharusnya tiada masalah untuk ke suku akhir, namun cabaran Taiwan dan India tidak boleh dipandang sepi.

Mampukah Aaron Chia-Soh Wooi Yik diharapkan pada kempen Piala Sudirman dengan prestasi tidak menentu.
Ini terbukti pada saingan Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai bulan lalu, apabila skuad negara yang turut berada satu kumpulan dengan India, tewas 1-4 kepada pasukan itu hingga terpaksa menempah pertemuan suku akhir dengan China, sebelum tersingkir dari kejohanan.
Taiwan pula yang tidak menurunkan barisan terkuat pada BAMTC lalu, dijangka membariskan barisan terkuat terutamanya dalam perseorangan lelaki dan wanita, Chou Tien Chen dan Tai Tzu Ying.
Dua negara ini mencadi pencabar terkuat yang boleh menghalang skuad negara ke akhir dengan dua pasuakn terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati itu.

Lee Zii Jia dilihat sedang memperbaiki prestasi, semoga menjadi satu petanda baik menjelang kempen Piala Sudirman, Mei depan.
Sementara itu, China yang juga juara bertahan diundi dalam kumpulan A, dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah jauh apabila berada satu kumpulan dengan Denmark, Singapura dan Mesir.
Indonesia dan Thailand dijangka bakal merebut slot juara kumpulan B, apabila turut diundi satu kumpulan dengan Jerman dan Kanada.
Dalam kumpulan D pula, Jepun diundi satu kumpulan dengan juara empat kali kejohanan, Korea Selatan selain Perancis dan England.
Malaysia belum pernah menjuarai kejohanan sejak kali pertama dipertandingkan di Jakarta, Indonesia pada 1989.
China mengungguli kejohanan dengan 12 kejuaraan manakala Indonesia sekali iaitu ketika kejohanan diperkenalkan.
Pada edisi lalu di Vantaa, Finland, skuad negara kalah di separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada Jepun.