PENJAGA gol ketiga Terengganu FC (TFC), Sharmiza Yusoff, berazam membalas kepercayaan jurulatihnya, Nafuzi Zain, jika diturunkan bertemu KL City FC, Sabtu ini.
Menurut pemain berusia 33 tahun itu, ketiadaan penjaga gol utama, Suhaimi Hussin, yang digantung perlawanan memberi peluang buatnya merebut posisi itu pada suku akhir kedua Piala Malaysia.
Sharmiza bagaimanapun berkata, itu tidak menjadikan slot benteng terakhir Sang Penyu akan menjadi miliknya untuk aksi genting memburu tiket ke separuh akhir.
“Walaupun aksi 30 minit ketika masuk menggantikan Suhaimi di Cheras adalah penampilan sulung musim ini, saya tidak gugup sebaliknya sentiasa bersedia sekiranya diperlukan.

“Seandainya menjadi pilihan sekali lagi mengawal pintu gol TFC, saya akan memberikan persembahan terbaik dan memastikan pintu gol kami tidak dibolosi.
“Jadi pertemuan di depan penyokong sendiri dan kelebihan satu gol perlu dimanfaatkan seterusnya mara ke separuh akhir,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
ARTIKEL BERKAITAN : Piala Malaysia 2022: “Karektor pemain beri kami kemenangan” – Nafuzi
Dalam aksi di Cheras, 6 November lalu, Sharmiza masuk pada minit ke-61 susulan layangan kad merah terhadap Suhaimi atas kekasaran ke atas Romel Morales di luar kotak penalti.
Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini, TFC yang juga naib juara Liga Super dan Piala FA membawa bekalan tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Kpah Sherman.