AKADEMI Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 Tahun mempertahankan status sebagai juara Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun untuk kali kedua berturut turut selepas menundukkan SMK Taman Desa 3-1.

Aksi final berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor pada Sabtu, AMD terlebih dahulu didepan menerusi jaringan Ahmad Yusuf Nasrullah Ahmad Ramli diminit ke-18 yang juga merupakan gol tunggal pada separuh masa pertama.

Anak didik Rodolfo Pereira Villa menggandakan asakan dan mencetak gol penyamaan diminit ke-40, lima minit selepas separuh masa kedua bermula menerusi rembatan Mohamad Fahim Akmal Zulkarnain.

Tiada pertambahan jaringan dicipta sehingga tamat masa penuh 70 minit permainan sekali gus mengheret permainan ke perlawanan masa tambahan.

Pemain SMK Taman Desa yang juga merupakan Akademi Johor Darul Takzim (JDT) B14 tampak kehilangan fokus dan ia nyata dimanfaatkan oleh anak didik Ekhsan Bukharee Badarul Hisham.

Pemain gantian, Muhd Aiman Haqimi Mohd Sanusi muncul wira AMD B14 apabila meledak dua gol, bermula di minit ke 72 untuk meletakkan pasukannya didepan 2-1 sebelum menutup sisa perjuangan SMK Taman Desa dengan gol menerusi penalti diminit ke 77 untuk keputusan muktamad 3-1 memihak AMD B-14.

Kemenangan ini sekaligus menyaksikan AMD B-14 mempertahankan gelaran juara Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia B-14 untuk kali kedua berturut-turut.

“Terima kasih kepada pemain yang memberikan 100 peratus terhadap perancangan dan latihan yang telah kita buat, semuanya teratur.

“Pada separuh masa kedua, kita bermain secara normal, pemain pemain berikan yang terbaik, kita (jurulatih) tidak paksa dan mereka mahukan kemenangan dan hendak menunjukkan sesuatu,” jelas Ketua Jurulatih AMD B-14, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham.

Kapten AMD B14, Muhd Iqbal Azhar melihat kejayaan yang dilakar sedikit sebanyak mengubati kekecewaan gagal utuk muncul juara Piala SuperMokh B-14 pertengahan November lalu.

“Perlawanan ini memang bagus dan merupakan sejarah untuk kami. Di Piala SuperMokh kami sasarkan utuk menjadi juara tetapi gagal tetapi Alhamdulillah kami menang di kejohanan ini.

“Tahun depan kami mahukan lagi kejuaraan tetapi ia bukan tugas mudah dan kami akan terus berusaha,” kata Iqbal

Rodolfo Pereira Villa mengakui pemain pemain tidak memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin sekali gus akur dengan gelaran naib juara.

Pemain pertahanan SMK Taman Desa cuba menghalang asakan yang dilakukan oleh pemain Akademi Mokhtar Dahari.

“Kami lebih menekan menerusi beberapa pemain di separuh masa kedua meningkatkan kelajuan permainan dan mencipta lebih banyak peluang pada separuh masa kedua.

“Ini lah situasi perlawanan akhir. Jika tidak fokus sepanjang permainan sehingga 90 minit untuk perlawanan ini, kesilapan akan berlaku, pihak lawan akan mencari jaringan dan kami perlu menjaringkan gol tetapi kami hanya menjaringkan satu gol sahaja. Mereka (AMD B-14) menggunakan peluang untuk menjaringkan gol,” kata Rodolfo.

Dengan kejayaan ini, Muhammad Syaifullah Mahruzi dari AMD dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan 14 gol serta Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, manakala Adam Nurfakrullah Mohd Fadli diiktiraf sebagai Penjaga Gol Terbaik Perlawanan Akhir.

Sementara itu, Anugerah Fair Play diberikan kepada SMK Taman Desa (Akademi JDT) B-14, melengkapkan senarai penghargaan berprestij tahun ini.