KETUA Jurulatih Hoki Kebangsaan, A Arulselvaraj yakin anak buahnya mampu menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkan pasukan.

Menurutnya, pasukan kini bersedia 100 peratus terutamanya selepas pemain mula melakukan jaringan.

“Pemain mula mengorak langkah dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Razie (Rahim) mula menjaringkan gol, begitu juga dengan pemain yang mula menjaringkan gol padang, kita berada di landasan yang tepat,” kata Arul, selepas pasukan menjalani latihan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh pagi ini.

Persiapan skuad kebangsaan mendapat perhatian Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Mohd Sayuti Abdul Samat yang hadir memberikan kata-kata semangat, sebelum latihan dimulakan.

Arulselvaraj menyampaikan taklimat kepada pemain sebelum memulakan latihan.

Mengulas mengenai cabaran Korea Selatan yang sentiasa culas untuk ditewaskan setiap kali berdepan skuad negara, Arul berkata, pasukan itu mempunyai pemain berpengalaman yang tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan kemenangan.

“Mereka mempunyai pemain senior, walaupun dah berumur namun masih ada kekuatan kecergasan (fitness strong), jadi kita akan gunakan cara lain untuk memenangi perlawanan, bukan cara sebagaimana setiap kali kita berdepan mereka sebelum ini,” kata Arul.

Pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jonghyun sudah berusia 38 tahun masih bersama skuad kebangsaan negara itu dan masih berbisa.

Justeru, Arul berkata, pasukan akan adakan mesyuarat petang ini, membincangkan persiapan dan corak permainan yang perlu digunakan selain set piece yang akan digunakan dalam pukulan sudut penalti.

Latihhan akhir skuad negara menjelang final Piala Sultan Azlan Shah menentang Korea Selatan esok, menekankan aspek taktikal, teknikal dan corak permainan yang berkemungkinan digunakan.

Tambahnya, meskipun Speedy Tigers turut dipalit pemain yang mengalami kecederaan namun pasukan perubatan berjaya menanganinya dengan baik, terutamanya menjaga tahap kecergasan pemain yang terpaksa bermain tiga perlawanan dalam tiga hari berturut-turut.

“Kita dapat sokongan yang baik daripada pasukan perubatan yang membolehkan kita menggunakan pemain yang mempunyai tahap kekuatan kecergasan bermain lebih lama di atas padang.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sultan Azlan Shah sejak diperkenal pada 1983.

Pencapaian terbaik pasukan kebangsaan adalah muncul naib juara pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.