Select Page

Final Piala FA: “Pengalaman bermain di Wembley jadi sandaran buat saya” – Shane Lowry

Final Piala FA: “Pengalaman bermain di Wembley jadi sandaran buat saya” – Shane Lowry

PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry tidak berasa tertekan untuk beraksi di hadapan lebih 80,000 penyokong pada final Piala FA tahun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana dia pernah mengalami suasana yang serupa pada tahun 2013 di England.

Pemain kelahiran Australia itu pernah beraksi di separuh akhir Piala FA Inggeris di Stadium Wembley bersama Milwall ketika menentang pemenang tahun itu, Wigan Athletic meskipun tewas 2-0 dan gagal ke final.

Pengalaman itu akan digunakan sebaiknya pada aksi final nanti dan Shane juga mahukan kemenangan pada penampilan final keduanya bersama JDT selepas gagal membawa pulang Piala Malaysia musim lalu.

Shane Lowry

“Inilah sebabnya anda bermain bola sepak profesional untuk bermain di hadapan penyokong yang ramai. Ianya tidak menggetarkan saya kerana saya pernah bermain di hadapan penyokong yang ramai sebelum ini.

“Saya bermain di separuh akhir Piala FA Inggeris bersama Milwall ketika tewas kepada Wigan Athletic pada 2013. Saya mempunyai pengalaman bermain di hadapan 70,000 hingga 80,000 penyokong dan ianya mengujakan.

“Sudah tentu akan ada sedikit rasa gugup namun kami akan menukarnya kepada energi positif dan kami akan hadir dengan penuh keyakinan untuk bergelar juara,” jelasnya.

Shane yang ditemui secara eksklusif oleh FLASH SUKAN juga berkata dia hanya mahukan kemenangan kerana ini adalah JDT, kelab yang dituntut untuk ke final dan memenanginya.

“Kami mahu memenanginya. Ini adalah sasaran kami dari awal musim iaitu untuk memenangi semua pertandingan yang kami sertai. Ini adalah JDT, kami perlu layak ke final dan memenanginya. Ianya pasti perlawanan yang menarik dan kami akan hadir dengan penuh keyakinan.

Selain itu, dia juga berpendapat Terengganu adalah pasukan yang baik dengan cara permainan bola sepak yang menarik dan dia bersedia untuk mengekang kepantasan Tchetche Kipre dan Kpah Sherman yang sangat berbahaya jika diberikan ruang.

“Terengganu adalah pasukan yang baik dengan corak permainan yang positif. Saya menghormati mereka kerana mereka berjaya layak ke final. Saya jangkakan ianya akan menjadi perlawanan yang menarik dan kami pastinya mahukan kemenangan dalam perlawanan ini,” tambah Shane.

Dia yang menyertai JDT musim lalu secara perpindahan percuma kini antara tunjang utama skuad Harimau Selatan dan akan berhadapan ancaman Tchetche Kipre dan Kpah Sherman dalam aksi final yang dijangka sengit pada Sabtu.

Video Terkini

Loading...