KETUA Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner gembira dengan kejayaan barisan pemainnya yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor 3-1 menerusi aggregat.
Terengganu kini dalam prestasi terbaik apabila tidak tewas dalam 13 perlawanan sejak Jun dan Tomislav memberikan kredit kepada pemain tempatan yang beraksi cemerlang terutama barisan pertahanan muda yang semakin matang.
“Kami berhak untuk menang di suku akhir ini kerana kami adalah pasukan yang lebih baik terutama ketika di Terengganu. Kami berjaya mendapatkan gol awal dan selepas itu kami hanya perlu mengawal perlawanan walaupun diasak hebat Selangor pada babak kedua.

“Saya mengeluarkan Ivan Mamut lebih awal kerana mahu memberikan dia rehat selepas beraksi tiga perlawanan yang cukup sukar dalam tempoh lapan hari dan memberikan peluang kepada pemain muda untuk mendapatkan minit permainan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dia juga memuji prestasi penjaga gol, Suhaimi Hussin yang baginya sudah membuktikan kemampuan dirinya dan layak untuk dipanggil ke skuad kebangsaan pada bila-bila masa.
“Suhaimi jika anda semua lihat dalam aksi sebelum ini menentang Mariners, dia selamatkan semua serangan pasukan lawan dan saya rasa dia antara penjaga gol terbaik buat masa ini dan selayaknya berada dalam skuad kebangsaan,” jelasnya

Ditanya FLASH SUKAN kejohanan mana yang akan diberikan tumpuan oleh Terengganu kerana jadual yang padat, Tomislav berkata, pengurusan tidak meletakkan syarat untuk kejohanan mana yang perlu diberikan perhatian tetapi mereka mahu pergi lebih jauh dalam Piala Malaysia.
Terengganu bakal bertemu Selangor sekali lagi dalam saingan Liga Super pada 29 September dan Tomislav mahu merehatkan beberapa tonggak dalam aksi ini kerana sedar kedudukan mereka di dalam liga tetapi dia tetap menganggap perlawanan ini sebagai perlawanan yang penting.