Oleh: MOHD FARIQ

PUAS, drama dan gemilang

Itulah simpulan penulis dapat huraikan apabila malam ini kepuasan menjadi penyokong bola sepak tempatan bagaikan menyentuh dinding klimaks selepas drama 120 minit berlangsung membabitkan aksi separuh akhir Piala FA menemukan Terengganu FC (TFC) dan Selangor (SFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Kuala Terengganu.

Kemenangan memihak kepada pasukan tuan rumah selepas menempah tiket ke pentas final dengan menewaskan skuad Gergasi Merah penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedudukan 1-1 terikat sepanjang tempoh berkenaan.

Di sebalik kejayaan skuad Penyu menamatkan penantian 11 tahun layak ke perlawanan akhir di mana muncul sebagai juara pada tahun 2011 dengan menewaskan Kelantan 2-1, malam ini juga menjadi saksi mengapa bola sepak masih menjadi sukan nombor satu negara.

Aksi yang cukup mendebarkan diantara kedua-dua pasukan sepanjang tempoh permainan sebenar.

Bersaksikan mata penulis, kira-kira hampir 40,000 penonton membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sekali gus menggandakan kepuasan lagi dalam kejohanan Piala FA atau mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan jumlah kedatangan penonton pada malam ini juga menjadi rekod baharu dalam Liga Malaysia pada musim ini.

Namun mesejnya adalah kita dapat melihat tahun ini Piala FA bagaikan kembali bernyawa selepas kejohanan ini tidak dapat diadakan sejak 2020 gara-gara pandemik Covid-19.

Menanti TFC di pentas final adalah kelab gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di mana penulis percaya satu perlawanan klasik bakal berlaku nanti dalam perlawanan akhir dan sekali lagi kita mahu merasai bahang seperti aksi semi final ini kembali berulang.

Ucapan tahniah juga tidak dilupakan kepada pasukan pelawat dan malam ini juga kita menyaksikan Selangor hampir berjaya untuk merakamkan sesuatu tetapi malangnya rezeki lebih memihak kepada skuad tuan rumah.

Persoalan sekarang, venue manakah yang bakal menjadi gelanggang perlawanan akhir nanti? Sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) pada minggu depan.