ADA sahaja kisah lucu daripada pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim selepas aksi Liga Super bertemu Kelantan United FC yang berkesudahan terikat tanpa jaringan di Kota Bharu pada Sabtu petang.
Beliau berkata, permukaan padang di Stadium Sultan Muhammad IV tidak rata dan menyusahkan para pemain bermain bola seperti biasa.
“Padang di sini memang susah nak main bola kerana tak rata. Bola itu datang seperti bola tu ada katak.
“Dia lompat-lompat jadi nak main kombinasi bola sepak seperti kita biasa bermain susah. Walaupun kita seri tapi kita cuba membina bermain bola.
“Tapi kalau pasukan tendang ke depan sahaja dan harap pihak lawan buat kesilapan senanglah sikit kerana bola itu lebih rapat dengan gol tiang pihak lawan. Tapi kita cuba nak main, yang itu jadi masalah kalau padang tu tak rata kerana banyak katak,” selorohnya selepas perlawanan.
Beliau mengulangi kenyataan, bukannya tidak mahu bermain bola tapi faktor padang yang tak sesuai.
“Bukan saya menghina Kelantan FC, Kelantan United ke, tapi seseorang tu mesti membuat padang menjadi sesuai untuk bermain bola sepak.
“Patut padang tu cantik dengan rumput tapi tak rata. Kalau rata, memang baguslah baik untuk mereka dan juga kita kerana penonton nak melihat bermain bola sepak.
“Saya tidak memberi alasan, ini kenyataan. Anda (media) boleh lihat sendiri padang itu,” katanya lagi.
Tambah Teong Kim, walaupun bermain tempat lawan mereka tetap bersungguh-sungguh dan ada ketikanya pasukan Kelantan United cuba menyerang untuk memenangi perlawanan.
“Walaupun seri saya puas hati bawa balik satu mata ke Ipoh.
“Hari ini kita ada peluang tapi tak ada jaringan. Kita perlu menjaring gol untuk menang dan peluang itu tidak ambil,” tegasnya.