SAINGAN bola sepak domestik akan bermula tidak lama lagi dengan beberapa pasukan sudah pun bersedia untuk melangkah ke pentas perlawanan berkenaan.

Bersempena pertandingan Piala Belia, Piala Presiden, Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) untuk musim baharu ini, jenama sukan global Puma | Active Sports telah memperkenalkan rekaan bola baharu mereka iaitu Puma Orbita FAM 2.

Dengan reka bentuk menarik serta menginspirasikan lambang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri, bola tersebut telah menggabungkan warna hitam dan kuning dan turut memaparkan logo PUMA sebagai pelengkap corak bola berkenaan.

Wakil daripada Puma, Pengarah Urusan Puma Asia Tenggara dan Oceania, Sanjay Roy menyatakan rasa teruja kerana pihaknya terus dipilih untuk menjadi sebahagian besar daripada keluarga bola sepak Malaysia.

Pelancaran bola baharu pertandingan bola sepak domestik musim 2024 di Wisma FAM.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed turut memberi penegasan bahawa bola bukanlah satu elemen yang membawa kepada peningkatan prestasi perlawanan bola sepak di Malaysia.

“Tentang kualiti bola, Puma sememangnya sudah terkenal dan kita sendiri tidak menafikan tentang perkara tersebut.

“Bola juga bukan semata-mata dapat menjadikan prestasi bola sepak kita meningkat, namun mungkin ia hanya menyumbang sebanyak lima peratus sahaja daripada penganjuran perlawanan,” ujar beliau semasa sesi sidang media yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Sebelum ini, FLASH SUKAN melaporkan bahawa PUMA telah melancarkan bola rasmi baharu untuk Liga Malaysia musim 2024-2025 dengan rekaan yang lebih unik.

ARTIKEL BERKAITAN : JDT pasukan pertama rasmikan bola Puma Orbita MFL 1