KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, menegaskan bahawa perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini, amat penting dalam usaha mempertahankan trofi Piala Malaysia yang mereka menangi sebelum ini.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, Piala Malaysia adalah trofi yang berharga dan perlu dipertahankan. Oleh itu, setiap pemain harus memberikan yang terbaik bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya.
Meskipun hampir pasti melangkah ke pentas final, JDT tetap bertekad untuk menampilkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.
Bidoglio turut mengingatkan pemainnya agar mengekalkan prestasi cemerlang dan tidak mengambil mudah cabaran lawan.
“Kami telah menunjukkan keserasian sebagai satu pasukan dengan permainan yang tersusun ketika berdepan lawan sebelum ini. Namun, cabaran sebenar kini adalah mempertahankan kelebihan yang dimiliki, dan itu bukan tugas mudah.
“Pemain perlu terus mengekalkan intensiti permainan kerana kami bakal berdepan pasukan yang dibarisi pemain berkualiti, yang pasti akan memberikan tentangan sengit,” katanya menjelang perlawanan tersebut.
Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada 17 Januari lalu, JDT mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas TFC.
Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva, mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik menerusi sepakan penalti pada minit ke-32, sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-64 dan masa kecederaan.
Sementara itu, Heberty Fernandes turut mencatat nama sebagai penjaring dengan gol pembukaan seawal minit keenam.