SKUAD bawah 23 (B-23) tahun negara memulakan aksi Piala Asia B-23 di Qatar dengan langkah kiri selepas tewas 2-0 kepada Uzbekistan pada perlawanan pertama Kumpulan D pada Rabu malam.

Aksi kedua-dua pasukan yang diadakan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha memperlihatkan skuad kendalian Juan Torres Garrido gagal menyaingi pihak lawan termasuk mudah ‘menghadiahkan’ sepakan penalti.

Malaysia bermula cantik termasuk hampir membuka akaun jaringan menerusi percubaan Luqman Hakim Shamsudin yang berpangkalan di J3 League, Yokohama Sports & Culture Club namun sempat dihadang pertahanan Uzbekistan.

Namun, kesilapan Syahir Bashah menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov dihukum pengadil untuk kad kuning sekali gus menghadiahkan sepakan penalti selepas disahkan teknologi video bantuan pengadil (VAR).

Keputusan penuh, 2-0 antara Uzbekistan dan Malaysia.

Jasurbek Jaloliddinov yang diamanahkan untuk mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang bagi meletakkan negaranya di hadapan pada minit ke-11.

Keputusan 1-0 itu terus diheret hingga tamat babak pertama perlawanan dan ini sekali gus memberi kelebihan buat Uzbekistan untuk mengekalkan kedudukan di hadapan dalam sambungan separuh masa kedua.

Beraksi dengan penuh harapan untuk mengejar pihak lawan, Malaysia seterusnya tampak lebih yakin selepas babak kedua berlangsung, dan asakan demi asakan juga telah dilakukan namun tetap gagal untuk merobek gawang gol Uzbekistan.

Malangnya, di sebalik kebangkitan Malaysia itu, satu kesilapan mudah telah dilakukan oleh pertahanan Harimau Muda dan ia terus membuka laluan buat pemain Uzbekistan, Ulugbek Khoshimov untuk menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-83 perlawanan.

Tamat aksi 90 minit , skuad B-23 negara terpaksa akur akan kekalahan sulung dalam aksi Kumpulan D.

Harimau Muda akan menyambung perjuangan hidup mati saingan kali ini dengan bertemu Vietnam pada 20 April sebelum mengakhiri kejohanan berdepan Kuwait (23 April).

Tiga pasukan terbaik saingan berprestij peringkat remaja ini akan meraih slot automatik ke kancah Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Julai depan.

Gawang gol Malaysia ditekan bertubi-tubi oleh pasukan Uzbekistan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan harapan tinggi untuk pasukan mara sekurang-kurangnya di pentas suku akhir.

Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga Malaysia layak ke Piala Asia B-23 selepas melakukan pada 2018 dan 2022. Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah pada 2018 di bawah Datuk Ong Kim Swee, apabila mereka layak ke suku akhir.