PRESIDEN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, mengalu-alukan langkah proaktif Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dalam menubuhkan Jawatankuasa Integriti dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Inisiatif ini menjadi bukti komitmen PAFA untuk memperkukuhkan integriti dan tata kelola dalam pengurusan bola sepak negeri.

“Sebagai sebuah NGO yang komited dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia, MCW melihat langkah ini sebagai satu langkah signifikan dalam mencegah ketirisan dana dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi sukan tanah air.

“Penempatan wakil SPRM dalam mesyuarat eksekutif PAFA dijangka dapat memastikan penggunaan dana dipantau dengan lebih teliti, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Mohd Azhar (dua, kiri) sempena Kongres Tahunan PAFA kali ke-63, 2024 di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad. Kredit Foto – Sinar Harian

Menurut Jais, penglibatan SPRM bersama Polis Diraja Malaysia dalam jawatankuasa ini diharap mampu memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan bola sepak negeri yang sering kali dikaitkan dengan isu integriti.

MCW mencadangkan agar inisiatif ini dijadikan model untuk diikuti oleh semua persatuan bola sepak negeri, termasuk ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebagai satu standard pengurusan yang bertanggungjawab dan telus.

Langkah ini menandakan perubahan besar dalam landskap pengurusan bola sepak negeri, sekali gus membawa harapan baharu kepada peminat dan penggiat sukan tanah air.

Semalam, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, memaklumkan bahawa pihaknya telah melantik Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti bermula November lalu.

Jawatankuasa khas ini diberi mandat untuk memantau pengurusan dana dan memberi nasihat langsung kepada PAFA dalam usaha memperkemas aspek tata kelola persatuan.