KELAB Penyokong Anak Selangor (ASFC) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya muncul pemenang edisi kedua ‘Selangor FC Partners Day 2024’, sebuah acara sukan khas untuk meraikan rakan kongsi, penaja, dan penyokong setia pasukan.
Dalam acara yang berlangsung penuh meriah, pasukan bola jaring Srikandi ASFC sekali lagi muncul juara, mengekalkan kejuaraan mereka selama dua tahun berturut-turut.
Presidennya, Mohd Faizal Wahid, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Selangor FC, khususnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, atas penganjuran acara ini yang menjadi platform menghargai sokongan para penaja dan penyokong.
Majlis penyampaian hadiah juga disempurnakan oleh Dr. Johan sendiri, memberikan pengiktirafan kepada usaha gigih para peserta.

ASFC berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Milo Challenger Cup 2024.
“Kejohanan ini bukan sekadar perlawanan sukan, tetapi satu simbol perpaduan dan semangat kesukanan antara penyokong, penaja, dan kelab. Syabas kepada pasukan Srikandi ASFC yang berjaya merealisasikan impian ini,” ujar Mohd Faizal ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Isnin.
ASFC bukan sahaja dikenali sebagai kelab penyokong setia Selangor FC, tetapi juga sebuah kelab bola sepak akar umbi yang aktif di peringkat negeri.
Ditubuhkan pada tahun 2014, kelab ini merupakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kejohanan.
Baru-baru ini, ASFC berjaya menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Milo Challenger Cup 2024, yang menyaksikan penyertaan pasukan bola sepak dari Melaka dan Selangor.

Kerja keras Srikandi ASFC membuahkan hasil.
Tidak ketinggalan, kejayaan pasukan netball Srikandi ASFC adalah hasil dedikasi dan latihan intensif yang hanya bermula kurang dari enam bulan.
Dari titik permulaan zero to hero, pasukan ini kini menjadi inspirasi kepada ramai, membuktikan bahawa usaha keras dan semangat tidak pernah mengecewakan.
Tahniah kepada Selangor FC atas kejayaan menganjurkan acara ini dan kepada pasukan Srikandi ASFC atas kejuaraan yang luar biasa. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian pada masa akan datang!