SUASANA suram menyelubungi Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini apabila hanya sekitar 7,000 penonton hadir menyaksikan aksi persahabatan antarabangsa antara Uruguay dan Republik Dominika dalam saingan Stars of Uruguay 2025, yang berakhir dengan kemenangan tipis 1-0 buat pasukan Amerika Selatan itu.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Ignacio Laquintana pada minit ke-61, sekali gus memastikan Uruguay menamatkan kunjungan ke Kuala Lumpur dengan kemenangan, meskipun persembahan mereka jauh daripada standard yang dijangka.

Kehadiran penonton yang rendah nyata menjadi bualan utama, terutama apabila skuad Uruguay tampil tanpa kelibat bintang-bintang utama seperti Manuel Ugarte (Manchester United), Federico Valverde (Real Madrid), Ronald Araujo (Barcelona), Darwin Núñez (Al-Hilal), José Giménez (Atletico Madrid) dan Rodrigo Bentancur (Tottenham Hotspur).
Ketiadaan nama-nama besar itu bukan sahaja mengurangkan nilai komersial perlawanan, malah menjejaskan minat peminat tempatan yang sebelum ini menaruh harapan untuk melihat deretan pemain kelas dunia beraksi di tanah air.

Lebih mengundang rasa janggal, Uruguay memilih untuk menentang Republik Dominika — pasukan di ranking ke-142 dunia, jauh di bawah Malaysia — sekali gus menimbulkan persoalan tentang nilai kompetitif perlawanan ini bagi pasukan yang menghuni kelompok 20 terbaik dunia.
Selepas aksi hambar di Kuala Lumpur, pasukan Uruguay dijadual meneruskan siri jelajah Asia mereka dengan menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Isnin ini.