KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) melalui laman sesawangnya terus memperkukuh saingan kelab utama benua itu dengan mencadangkan beberapa pembaharuan besar terhadap Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Antara perubahan utama yang diketengahkan adalah peluasan format pertandingan kepada 32 pasukan bermula musim 2026/27 berbanding 24 pasukan sebelum ini.

Di bawah struktur baharu ini, kejohanan masih mengekalkan pembahagian kepada dua zon iaitu Timur dan Barat dengan masing-masing diwakili 16 kelab.

Langkah ini dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada kelab elit Asia untuk bersaing di peringkat tertinggi sambil meningkatkan tahap profesionalisme dalam liga domestik.

Dalam masa sama, sistem kelayakan ke pusingan kalah mati turut mengalami perubahan bagi menjadikan persaingan lebih kompetitif dan mencabar.

Bermula selepas musim 2026/27, enam pasukan teratas setiap zon akan layak secara automatik ke pusingan 16 terbaik sementara pasukan yang menduduki tangga ketujuh hingga ke-10 tidak akan tersingkir sebaliknya akan beraksi dalam pusingan play-off kalah mati yang diperkenalkan buat pertama kali.

Pasukan dengan kedudukan lebih tinggi dalam peringkat liga akan diberikan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi perlawanan play-off tersebut.

Pemenang dalam aksi play-off itu kemudiannya akan melengkapkan baki slot ke pusingan 16 terbaik, sekali gus memastikan setiap kedudukan dalam liga membawa kepentingan besar.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan pusingan play-off ini tidak akan dilaksanakan pada musim 2026/27 berikutan jadual pertandingan global yang padat.

Sebaliknya, format tersebut dijangka diperkenalkan pada musim-musim berikutnya sebagai sebahagian daripada evolusi kejohanan.

Secara keseluruhan, pembaharuan ini mencerminkan usaha AFC untuk menjadikan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) lebih inklusif, kompetitif dan relevan di pentas bola sepak global.

Namun begitu, semua cadangan ini masih tertakluk kepada kelulusan rasmi Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.