LAWAN yang bakal dihadapi skuad bola sepak kebangsaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac nanti adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.

Pan-gon pastinya tahu apa yang dimahukan bagi menguji skuad Harimau Malaya yang pastinya akan menggunakan kesemua perlawanan dalam kalendar antarabangsa Fifa ini sebagai medan persiapan menjelang Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang turut menyatakan bahawa perbincangan itu dibuat antara Pan-gon dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman

“Perlawanan persahabatan bulan Mac kita masih dalam proses untuk pilih pasukan. Kriteria pasukan bergantung pada Ketua Jurulatih dan FAM akan pertimbangkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Skuad Kebangsaan hujung bulan ini.

“Siapa lawan skuad kebangsaan dan venue yang dipilih FAM akan diketahui selepas mesyuarat itu dan akan diberitahu pada awal bulan Mac nanti,” katanya kepada media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Kim Pan-gon bakal mendapat kembali kesemua pemain utama terutama dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kali ini berbanding ketika Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 kerana dua perlawanan persahabatan ini berlangsung di dalam kalendar antarabangsa Fifa yang mewajibkan kelab melepaskan pemain mewakili skuad negara.

Aksi Harimau Malaya ketika Piala Mitsubishi Electric AFF 2022

Malaysia dijangka bertemu lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi dalam usaha memperbaiki ranking bagi mendapatkan slot balang yang lebih baik untuk proses undian Piala Asia nanti.

Sejak mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon telah mengendalikan 18 perlawanan dan mencatat 12 kemenangan, dua seri dan hanya empat kekalahan.