KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung status penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari memaklumkan pihaknya mengambil maklum titah Sultan Selangor yang mencadangkan penangguhan temasya tersebut, namun keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas perbincangan menyeluruh.

Menurut beliau, ketika ini KBS masih menunggu maklum balas rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan temasya Sukan Malaysia tidak boleh dibuat secara individu, sebaliknya perlu melalui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Jawatankuasa itu merangkumi wakil kementerian, exco sukan negeri-negeri, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Institut Sukan Negara (ISN) serta badan berkaitan lain.

Sehubungan itu, satu mesyuarat khas dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju penganjuran SUKMA 2026.

Taufiq memaklumkan mesyuarat tersebut dijangka berlangsung sekitar 30 April ini, tertakluk kepada sebarang perubahan.

Beliau turut menegaskan bahawa perbincangan akan dibuat secara terbuka dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk aspek kewangan, logistik dan kepentingan atlet.

Pendekatan kolektif itu penting bagi memastikan keputusan yang dicapai bersifat menyeluruh serta tidak menjejaskan pembangunan sukan negara.

Keputusan rasmi berhubung penganjuran SUKMA 2026 dijangka diumumkan selepas mesyuarat khas tersebut selesai.