DATUK Mohd Joehari Mohd Ayub calon tunggal bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pada Kongres FAM Ke-61 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2025.
Dalam siaran media FAM pada Jumaat, turut diumumkan ialah senarai awal 29 calon yang layak bertanding bagi mengisi 17 kerusi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.
Proses pemilihan melibatkan jawatan utama seperti Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif.



Daripada 18 ahli gabungan FAM, dua ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak terlibat kerana digantung keahlian.
Justeru, ahli gabungan yang layak telah diberikan masa sehingga 16 Januari 2025 untuk menghantar nama calon masing-masing. Namun, hanya 16 ahli gabungan menghantar pencalonan yang lengkap dan sah.
Selepas melalui proses saringan awal, daripada 39 calon yang diterima, hanya 29 calon memenuhi syarat minimum seperti yang ditetapkan dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM.
Selain itu, untuk menandingi jawatan Presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM.
Manakala, bagi jawatan Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan, jawatan Naib Presiden pula memerlukan empat pencalonan manakala jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) memerlukan dua pencalonan.
Kesemua calon yang layak akan menerima Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan dan diminta menyerahkan semula borang tersebut selewat-lewatnya pada 23 Januari 2025.
“Calon-calon yang layak untuk bertanding ini akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk mereka membalas semula borang berkenaan selewat-lewatnya pada Khamis, 23 Januari 2025.
“Dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said dalam kenyataan.
Proses saringan integriti juga akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
Jawatankuasa Pemilihan FAM dijangka mengumumkan senarai akhir calon selewat-lewatnya pada 8 Februari 2025, seminggu sebelum kongres berlangsung.