PASUKAN RNF MotoGP Team kini tampil dengan wajah baharu untuk musim Kejuaraan MotoGP Dunia 2023 dengan meletakkan sasaran mahu mencabar podium meskipun berhadapan beberapa masalah yang terpaksa dihadapi.

Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali juga menjelaskan pasukannya untuk tahun ini bukan sahaja menampilkan dua pelumba baharu tetapi juga tampil dengan jentera baharu.

Dia juga turut gembira dengan ujian hari pertama di Litar Antarabangsa Sepang yang disifatkan sebagai positif dan ini adalah permulaan yang baik buat pasukannya untuk menghadapi musim ini.

“Selepas bergelut pada tahun 2021 dan 2022 dengan prestasi pelumba yang tidak menentu dan penaja utama menarik diri, oleh itu tahun ini kami agak terdesak untuk mendapat keputusan yang baik dengan pasukan baharu ini.

“Kami cuba untuk menjadi lebih kompetitif dan juga mahu mencabar kedudukan podium dan jika mampu kamu juga mahu memberikan cabaran kepada ‘factory rider’,” katanya ketika ditemui di MotoGP Winter Testing 2023 di Litar Antarabangsa Sepang.

RNF MotoGP Team tahun ini menampilkan dua pelumba, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez dari pasukan KTM serta bertukar kepada jentera Aprilia berbanding Yamaha yang digunakan pada dua musim terdahulu.

Oliveira, pelumba Portugal berusia 28 tahun itu telah mencatatkan lima kemenangan dalam 68 permulaan dalam kelas MotoGP dan berjaya menawan dua perlumbaan di Asia Tenggara musim lalu apabila memenangi Grand Prix Indonesia dan Grand Prix Thailand.

Manakala Raul Fernandez pula adalah pelumba ‘rookie’ musim 2022 dan berjaya mencatat 14 mata keseluruhan selain turut berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke-15 di Grand Prix Malaysia musim lalu.

Kejuaraan MotoGP Dunia 2023 bakal menampilkan 21 perlumbaan dengan Grand Prix Portugal bakal membuka tirai pada 26 Mac 2023 dan tamat pada 26 November 2023 di Grand Prix Valencia.