KEJOHANAN Bola Sepak Liga Miri 2024/2025 bakal membuka tirainya hujung minggu ini di Bandaraya Miri.
Pertandingan yang dinanti-nantikan ini akan menyaksikan persaingan sengit antara enam pasukan terpilih yang telah mengesahkan penyertaan.
Antara pasukan yang akan beraksi adalah Dasan Rovers, Upai Semaring, BARD’S 78, Kotaras City, Armin dan ZM Miri FC. Perlawanan pertama dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Semua perlawanan akan diadakan di dua lokasi utama, iaitu Stadium Miri dan Padang Majlis Bandaraya Miri.
Aksi dijangka bermula tepat jam 4:15 petang, memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan untuk hadir menyaksikan perlawanan secara langsung.
Liga ini menggunakan format liga satu pusingan, di mana setiap pasukan akan bertemu sekali dengan lawan masing-masing. Pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan dinobatkan sebagai juara.
Penganjur berharap kejohanan ini bukan sahaja akan mencetuskan persaingan sengit di padang, malah menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dari Miri.
Kehadiran peminat di stadium amat diharapkan untuk menyemarakkan lagi semangat pasukan yang bertanding.